Pencinta Novel

December 22, 2008

Ayat-ayat Cinta - Habbiburrahman El Sherazy




ISBN: 983-2672-44-9
Katergori: Novel
Muka Surat: 510

Kerangan buku:

PENGARANG:Habiburrahman El Shirazy

PEMENANG PENA AWARD NOVEL TERPUJI NASIONAL 2005

PEMENANG ANUGERAH PENGHARGAAN THE MOST FAVORITE BOOK 2005

Sesekali dalam ketenangan sastera Indonesia datang mengejut gelora seni yang tidak tersangkakan. Jika dulu pernah hadir "Ateist", "Perburuan", "Pulang", "Merahnya Merah" dan "Bumi Manusia", kini tampaknya gelora itu datang dalam bentuk "Ayat-Ayat Cinta" pula. Ternyata ia adalah sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan. Dengan bahasa yang sederhana mengalir, novel ini menghadapkan kita kepada sekelompok mahasiswa Indonesia yang tidak saja tekun menangguk ilmu, malah berupaya mengisi kehidupan dengan penuh sabar.

"Ayat-Ayat Cinta" memangnya pintar mengheret kita menjejaki –– malah menghidu –– perhubungan Fahri (Indonesia) dan Maria (Mesir) secara penuh mengajar, menghantar isyarat dan kebijaksanaan baru melalui perhubungan sopan antara insan dua negara.

Rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib.

Maka itu, tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasa iklim dan memahami gerak hidup insan Indonesia baru di luar dan di dalam negaranya.

A. Samad Said

Sasterawan Negara

Berbeza rentak dan nada dengan Harry Potter, akhirnya Ayat Ayat Cinta terpilih sebagai The Most Favorite Book…”

MAJALAH MUSLIMAH,

Edisi Januari 2006

“Penulis novel ini berjaya menggambarkan latar (setting) sosiobudaya Timur Tengah dengan begitu hidup tanpa perlu menggunakan istilah-istilah bahasa Arab. Bahasanya yang mengalir, perwatakan tokoh-tokohnya yang begitu kuat, dan gambaran latar yang begitu hidup, menjadikan kisah dalam novel ini terasa seolah-olah ianya benar-benar terjadi. Ini adalah contoh novel karya penulis muda yang sangat baik!”

AHMADUN YOSI HERFANDA

Sasterawan dan Redaksi Budaya Republika

“Jarang ada buku seperti ini. Saya tidak yakin akan ada novel seumpama ini daripada penulis muda Indonesia yang lain, bukan sahaja pada ketika ini bahkan pada beberapa puluh tahun di masa hadapan. Begitu menyentuh. Begitu dalam. Dan begitu dewasa!”

MOHAMMAD FAUZIL ADHIM

Pakar Psikologi dan Penulis Buku-buku Best Seller

“Jika Naquib Mahfuz menulis Mesir dari pandangan orang Mesir, maka Mesir kali ini ditulis dalam pandangan orang Indonesia. Novel ini ditulis oleh orang Indonesia yang betul-betul faham selokbelok negeri itu, hingga kepada perincian-perincian yang paling kecil. Ianya hidup, berbaur dan berinteraksi dalam kehidupan sehari-hari; lalu menyerap roh dan pengetahuan darinya, dan dituangkan dengan sepenuh hati ke dalam bentuk novel yang kaya. Ditulis dengan bahasa yang lancar, dengan tokoh-tokoh yang “hidup” dan bersekilas pandang dalam pelbagai perwatakan. Membaca novel ini adalah seperti membuka cermin cakerawala yang terbuka…

JONI ARIADINATA

Penulis Cerpen, Redaksi Jurnal Cerpen Indonesia

Ringkasan dari saya:
Kisah hidup seorang pemuda pelajar di Al Azhar Mesir yang penuh dengan dugaan dan ujian. Mulanya hidupnya adalah berulang-alik ke masjid Abu Bakar, belajar dengan Shiekh Ahmad, kitab agama, sejauh 50km dengan menaiki lrt. Hidup pula bersama pelajar Indonesia 4 orang yang masih belajar Ijazah Sarjana Muda. Fahri namanya, dia sedang menunggu tesis nya diterima di Al Azhar untuk melanjutkan ke Master dan terus phD.

Dalam pada itu, jirannya sekeluarga beragama Kristian Koptik yang tinggal di tingkat atas sangat baik dengannya. Maria, anak perempuan keluarga tersebut selalu menyapa Fahri dan kadangkala menitip barang untuk dibeli pada Fahri, kebetulan Fahri dalam perjalanan ke masjid Abu Bakar. Maria menyimpan perasaan pada Fahri, dan perasaannya membuak-buak bilamana Fahri menghadiahkan ibu dan adik Maria hadiah harijadi, yang ditulis dari Fahri dan rakan-rakan serumah. Keluarga Maria pula membalas dengan menjemput mereka semua makan di restoran elite yang tidak pernah mereka jejaki, dan sejak itu Maria terasa sangat dekat dengan Fahri.

Sementara itu, Maria atas desakan Fahri, telah menyelamatkan Noura (jiran mereka) dari bapa Noura yang bengis. Setelah Noura ditinggalkan di luar apartment, dan menangis terisak-isak, Maria mendapatkan Noura dan membawanya ke rumahnya. Noura menceritakan nasib malang yang dialaminya di mana dia telah dipaksa melacur seperti kakak-kakaknya, dan dia tidak mahu menuruti paksaan ayahnya. Dia telah disiksa.

Fahri memberi cadangan agar Noura tinggal bersama Nurul (rakan Indonesia) yang menuntut di Al Azhar. Noura telah diselamatkan dan rupa-rupanya Noura bukan anak si bengis. Adik Sheikh Ahmad, seorang intelligent telah berjaya mendapatkan ayah dan ibu kandung Noura, dan rupa-rupanya Noura telah tertukar dengan bayi lain semasa kecil.

Pertemuan Fahri dengan Aisha tidak sengaja di dalam lrt ketika Aisha wanita berpurdah itu mempersilakan 2 wanita mat saleh duduk ditempatnya. Aisha dikutuk di dalam lrt oleh lelaki-lekaki mesir yang anti-Amerika. Dari situ, Fahri menyelamatkan Aisha dari dikutuk juga oleh lelaki Mesir yang beramai-ramai bertekak di dalam lrt. Fahri menyeru mereka berselawat. Dari situlah Aisha berkenalan dengan Fahri, dan secara tak sengaja Fahri menyebut nama ayah saudara Aisha, iaitu Herbakan.

Tidak lama selepas pertemuan itu, Sheikh Ahmad mengajukan persoalan jodoh pada Fahri, dan Fahri tau, dalam usia dia yang sebegitu memang patut dia sudah punya calon. Fahri hanya menerima cadangan Sheikh Ahmad tanpa melihat pada foto yang diajukan padanya. Dia berserah. Rupa-rupanya semasa taaruf, keluarga Herbakan yang datang ke rumah Sheikh Ahmad.

Noura pula mencurahkan perasaan pada Fahri dalam surat terimakasih pada Fahri.
Fahri tidak dapat menerima perasaan tersebut. Sementara itu Nurul juga memaksa ayah saudaranya yang sedang menuntut phD untuk bertanyakan jodoh pada Fahri, malangnya ayah saudaranya terlalu sibuk dengan tesisnya.
Pernikahan Aisha Fahri berjalan lancar di masjid Abu Bakar, dengan disaksikan oleh keseluruhan pelajar Indonesia di sana. Aisha rupa-rupanya bukan sebarang wanita. Dia adalah wanita elite yang mempunyai kemewahan berjuta-juta dolar. Fahri terkejut dan sedih mengenangkan tanggungjawabnya, namun Aisha seorang wanita yang bepekerti mulia, dia memujuk Fahri dengan menceritakan kisah Khadijah mengahwini Nabi Muhammad saw.

Baru 2 bulan bulan madu mereka, Aisha disahkan mengandung, dalam pada keseronokkan berita gembira, Fahri ditangkap dan didakwa atas tuduhan memperkosa Noura. Dia diseksa di dalam penjara dan Ijazah Sarjana Mudanya ditarik balik. Fahri terkejut dan sangat terpukul. Sementara itu Maria pula jatuh sakit setelah mengetahui pernikahan Fahri.
Saksi utama iaitu Maria jatuh sakit, dan tiada saksi lain, melainkan saksi palsu yang telah melihat Noura pergi dihantar oleh Maria ke bilik/rumah Fahri. Sementara itu ibu-bapa Maria memohon pertolongan Fahri untuk menaikkan semangat Maria di hospital. Doktor mengatakan dengan hanya bersuara dan menyentuh Maria dapat menyedarkan dan memulihkan semangat Maria. Fahri bernikah dengan Maria di hospital dengan izin Aisha.

Maria berjaya dipulihkan untuk dibawa sebagai saksi di mahkamah. Akhirnya Fahri berjaya dalam kes tersebut, dan ternyata yang menghamili Noura adalah sibengis itu, sebelum Fahri/Maria menyelamatkan Noura malam itu. Maria pula jatuh pengsan di mahkamah, dan dibawa ke hospital, bersama dengan Fahri. Maria mengigau, dan dalam mimpinya dia telah dihalang dari memasuki syurga. Rupa-rupanya Maria sebenarnya sudah lama memeluk islam, tetapi tidak mempraktikkanya. Dia bertaubat, dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Rating saya:
***** (almost perfect!)
Kesimpulannya:
Dalam novel ini ada banyak tips muslim dan muslimah:
1. Cinta pada Allah lebih hakiki, cinta pada manusia adalah kedua.
2. Bersabarlah dalam menghadapi ujian Allah. Di sebalik kesabaran itu terdapat kemanisan iman.
3. Bersolat istikharah dalam menghadapi situasi membuat keputusan.
dan banyak lagi.


Baru sempat tengok movie Ayat-ayat Cinta filem indonesia.

Banyak betul yang tak selari dengan novel nya yang sangat indah.

Berikut adalah contohnya:

Aisya wataknya tidak kasar, dalam filem menunjukkan yang dia bermain-main dengan videocam dan fokus untuk mengambil gambar fahri sambil mengacu-acukan videocam pada fahri. Dalam novel tiada adegan begitu.

Aisya juga tidak belanja Fahri semasa makan malam dengan Madame Naheed. Tiada adegan makan malam bersama Madame Naheed, Maria, Fahri dan Aisya. Yang ada Yousef datang dan bagi hadiah perkahwinan yang kecil tapi punyai nilai yang tinggi. Serbuk Dhab Masri. Dan tiada adegan Aisya yang menghulurkan kad kreditnya pada pelayan restoran tersebut. Adegan ini mencacatkan lagi watak Aisya yang sepatutnya lembut dan memelihara sifat kewanitaan.

Tak setuju juga dengan adegan Aisya membuat surprise dengan membelikan Fahri komputer laptop yang baru, sedangkan tiada adegan Aisya pandai-pandai membelikan Fahri laptop baru.l Aisya juga memindahkan buku-buku fahri dari apartment lama fahri ke apartment barunya, bukan membeli kitab2 baru dan meletakkan di rumah baru.

Tempat tinggal Aisya-Fahri merupakan sebuah kondominium yang dijaga oleh 2 orang pengawal, tetapi dalam filem ini dia tinggal di banglo yang mempunyai pembantu rumah. Sedangkan Aisya-Fahri tiada pembantu rumah. Dalam filem, Aisya juga bergaduh dengan Fahri dan bercakap dengan nada kuat dengan Fahri, Aisya juga membuka handphone Fahri tanpa izinnya. Adegan ini juga menjejaskan pandangan penonton pada Aisya.

Semasa Fahri ditangkap dan disumbatkan kedalam penjara, dalam filem penjaranya luas dan dihuni oleh orang kurang siuman, padahal dalam novel penjaranya sempit dan ada 4 rakan penjara di dalam. Mereka terpaksa bersolat jemaah bergilir2, dua dua. Dan salah seorang dari banduan adalah x professor yang banyak menasihati Fahri dan memberi idea yang bernas pada Fahri.

Dalam novel, Aisha dan Fahri baru sahaja mengetahui yang Aisha mengandung, kemudian dalam kegembiraan itu, Fahri ditangkap.

Kemudian semasa flashback, Fahri mengisahkan Maria menemannya di rumah semasa membuat terjemahan untuk wanita mat saleh tu dan Maria cuba menyentuh Fahri tetapi dia terjaga, tapi dalam novel, Fahri pengsan dan jatuh sakit di hospital dan Maria pergi melawat Fahri dan menjaganya dan mencium Fahri semasa dia tidak sedarkan diri.

Kemudian Maria mati semasa dia di hospital selepas memberi keterangan di mahkamah, bukan nya selepas dia tinggal bahagia dengan Fahri. Malah dalam novel, Fahri tidak sempat membawa Maria pulang ke rumah Aisya.

Kesimpulannya:

Bukan filem Ayat-ayat Cinta 100% difilemkan, tetapi diolah-olah dan jadi berbeza dengan pembacaan.

December 12, 2008

Sepi Tanpa Cinta - Damya Hanna



Harga : RM 18.00
Halaman :496
ISBN : 983-124-162-2

Baca online di Scribd

Add to cart

Sinopsis : SEPI TANPA CINTA
HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!
Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!


Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.


Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali...


Ringkasan Cerita:

Percintaan terjalin selepas perkahwinan. Itulah tema dalam novel ini. Bermula dengan kahwin terpaksa antara Haziqah dan Fakhrul. Haziqah yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan Yusri, tetapi pada hari perkawinannya, Yusri memutuskan untuk menarik diri. Bagi menutup malu, Haziqah dinikahkan dengan anak majikan ibunya, Fakhrul yang kebetulan sedang kecewa dalam percintaan.


Pada mulanya Fakhrul membenci Haziqah akibat terpengaruh dengan khabar angin yang mengatakan Haziqah sudah tidak suci lagi, dan dia yang terpaksa menjadi pak sanggup. Dia membiarkan Haziqah selama berbulan-bulan tinggal berasingan di kampung. Haziqah pasrah dengan sikap Fakhrul yang menghukum gantung tidak bertali. Haziqah tertekan dengan keadaanya. Dia difitnah, dan dia hampir hendak melarikan diri dari rumah ibunya, tetapi kedatangan kedua orang tua Fakhrul secara tidak sengaja telah membawa dirinya bersemuka dengan Fakhrul.


Di kampung, Melati yang memang dengki dengan Haziqah, merupakan anak Mak Senah, ibu tiri Haziqah. Bermakna Melati dan Haziqah adalah adik beradik tiri tanpa pengetahuan Haziqah. Sebenarnya Haziqah adalah anak Siti Sakinah, yang ditinggalkan oleh Siti Sakinah kepada Aminah (pengasuh dirumah Fakhrul). Aminah berkahwin dengan adik bapa Haziqah dan tidak mendapat anak, lalu menganggap Haziqah anak tunggal Hassan dan Aminah. Perkara ini tidak diketahui oleh Haziqah sehinggalah Melati menghantar surat layang kerumahnya.


Kebahagiaan Fakhrul mula berputik setelah mendapat nasihat dari kawannya Amirul. Amirul pula berkahwin dengan Radhiah yang bekerja sebagai doktor di kampung Haziqah. Manakala Azura pula kekasih lama Fakhrul, berkahwin dengan Izham, yang kebetulan bekerja dengan Tuan Fuad (bapa Fakhrul). Izham terjumpa dengan Haziqah di Putrajaya semasa Haziqah melarikan diri dari rumah Fakhrul. Izham yang menolong Haziqah pulang ke rumah Tuan Fuad dan kebetulan Tuan Fuad ada di rumah.


Fakhrul cemburu dan egois, terlalu memikirkan diri sendiri, tanpa memikirkan tekanan yang di alami Haziqah. Kehadiran Yusri menuntut semula cinta pada Haziqah dipandang serong oleh Fakhrul. Nyaris-nyaris Fakhrul meninggalkan Haziqah semula.


Peristiwa kebakaran dirumah Aminah, yang sengaja dilakukan Melati telah menyebabkan Haziqah terlantar di hospital dengan keadaan yang terluka. Dia meminta Fakhrul meninggalkan dirinya dan dia tidak mahu kembali ke pangkuan Fakhrul. Saat ini Fakhrul baru tersedar yang sebenarnya dia terlalu banyak membuat hati Haziqah terguris. Dia pergi dan meninggalkan Haziqah, sehinggalah setahun kemudian mereka dipertemukan secara tidak sengaja di pejabat Tuan Fuad dalam urusan perniagaan.



Kesimpulan dalam novel:

1. Fitnah atas wanita yang suci adalah dilarang dalam islam dan hukumnya berdosa besar si pemfitnah tersebut.

2. Dalam rumah tangga perlu ada toleransi, tak boleh terlalu cemburu dan ego. Perlu ada persefahaman supaya tidak berlaku pergaduhan.

3. Pergaduhan kecil dalam rumah tangga adalah asam garam hidup dalam rumah tangga, kadang-kadang perkara kecil boleh membuat hati terguris. Fikir secara positif dalam menangani perkara kecil.

4. Suami bertanggung jawab ke atas isteri, selagi isteri belum diceraikan. Isteri pula perlu bertanggung jawab pada setiap tindak tanduknya. Keluar dari rumah perlu minta izin dari suami dahulu. Haram hukumnya jika keluar rumah tanpa keizinan suami.


Rating saya:

**** (4 bintang, walaupun dah lama saya beli novel ni, tapi saya tak sempat nak selak, bila dah mula membaca, tak boleh dah nak letak...)

December 9, 2008

Suratan Kasih - Durrah Fatihah



Harga : RM 19.90
Halaman :512
ISBN : 978-983-124-318-3



Sinopsis belakang novel:

Novel yang mengisahkan lelaki muda menyukai janda yang sudah mempunyai anak ini pasti mencuit hati anda bila membacanya. Nurul Hanisah dalam dilema antara perasaan cinta terhadap Hazman dan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak. Belahan hati dan kasih menjadi episod lara dalam penentuan kebahagiaan hidupnya.


Namun, anak-anak Nurul Hanisah pula tidak mengharapkan lelaki lain dalam hidup mama mereka, terutama lelaki yang muda. Familia adalah penentang dalam hubungan mereka. Namun, perlukah dia beralah demi kebahagiaan seorang wanita yang selama ini mencurah sepenuh kasih sayang kepadanya.


Ringkasan dari saya:

Percintaan diantara wanita bekerjaya dan berumur 40an dengan pemuda awal 30an dikupas dengan terperinci dalam buku Durrah Fatihah kali ini. Saya membacanya seolah-olah membaca kesinambungan cerita kisah 3 beradik yatim piatu ini. Seolah-olah saya pernah membaca kisah kedua ibu bapa anak yatim ini dalam novel lain. Salwa ibu tiri yang jahat dan tamakkan harta juga macam dejavu, tapi saya amnesia pula tentang tajuk novel yang dulu.


Hanisah atau Nurul Hanisah, berpura-pura sebagai janda beranak tiga, sedangkan dia masih belum berkahwin, meneruskan amanat kakak dan abang iparnya untuk menjadi ibu kepada tiga orang anak yatim piatu yang ditinggalkan di dunia ini. Kisah bermula bilamana Hanisah berpindah ke satu kawasan baru di taman rumah bekembar-dua dan berjiran pula dengan Hajjah Khadijah yang mempunyai anak bujang terlajak.


Keakraban Hanisah dan makcik Jah tidak disenangi tetangganya terutama Zainab. Konflik demi konflik terpaksa ditangani oleh Hanisah dalam membesarkan anak-anak yang semakin meningkat remaja. Mulanya masalah dengan angah yang dalam proses membesar, mula belajar merokok dan berkawan dengan kawan-kawan yang tidak bermoral. Kemudian masalah anak sulongnya (Familia) yang ingin mempunyai kereta sendiri supaya senang dia bergerak di universiti.


Hubungan Hanisah-Hazman mulanya cuma rakan perbualan sebalik tembok sahaja, tetapi lama-kelamaan hati Hazman mula terbuka dan tertarik dengan Hanisah. Persahabatan mereka pada mulanya ditetang hebat oleh makcik Jah, ditokok tambah pula dengan fitnah yang ditabur oleh Zainab, yang mengatakan Hanisah cuba menggoda suaminya. Sedangkan yang berlaku adalah sebaliknya.

Kesabaran, cubaan dan dugaan ditangani Hanisah seorang diri dengan tabah.


Dengan perebutan harta peninggalan aruah Fauzan dan dia dijadikan pemegang amanah untuk harta-harta anak-anaknya, Hanisah tabah menghadapi dugaan dan kerenah dunia. Keluarga Fauzan masih berdendam dengan aruah kakak Hanisah, namun dia tidak peduli semuanya itu, dan dia berusaha sendiri menjadi wanita yang bekerjaya dan pemilik syarikat bekalan peralatan minyak yang jarang-jarang diceburi wanita.


Percintaan Hanisah-Hazman terputus sebelum bermula, setelah ditentang dan keegoan Hazman. Atas nasihat rakan baiknya Azmi yang merupakan peguam Fauzan, Hazman berusaha menyiasat latarbelakang Fauzi yang memikat Hanisah. Terbongkar jua kegiatan Fauzi, setelah Hazman mengikutinya dan mengupah penyiasat persendirian. Gambar-gambar dihantar pada Hanisah, dan mujur juga Hanisah belum sempat menerima pinangan Fauzi.


Sementara itu Familia terkejut dengan hubungan Hazman yang 6 tahun lebih muda dari Hanisah yang sudahpun mencecah 40. Familia sedih dan melarikan diri ke rumah rakannya Kamil bersama Syasya, namun begitu setelah dinasihati Syasya dan Kamil, Familia akhirnya berubah hati dan menyedari Pak Ngah Fauzinya ditangkap BPR, barulah Familia sedar selama ini dia telah diperalatkan oleh Pak Ngah nya dalam cubaan memikat Hanisah.


Akhirnya Hazman-Hanisah berjaya bersama setelah melalui pelbagai konflik luaran dan dalaman.


Rating saya:

*** (banyak konflik-konflik dan berjaya diatasi, kisah cinta terbatas dan terlindung antara wanita tua dan lelaki muda)

December 2, 2008

Lili Buat Najah - Nazurah Aishah


Tajuk: Lili Buat Najah

ISBN: 976-976-5118-02-9

Halaman: 530

Terbitan: Jemari Seni Publishing


Sinopsis Belakang Novel:


Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford, berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.

Itulah permulaan kisah ini... yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Apakah boleh aku memilih jalan ceritaku sendiri, Najah?

Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan?

Berkorban perasaanlah yang paling memedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna; lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai...


Tulis Najah:

apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung

apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana

jadi bagaimana aku harus terus hidup

kalau mentari tidak mahu berkongsi kehangatannya dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya...?

Najah, sudah jadi fitrah alam... matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam!


Ringkasan dari saya:


Novel yang amat menyayat hati saya. Membaca dari mula memang hanyut dalam kata-kata cinta antara dua merpati, Najah dan Tasha. Mereka bernikah di UK, tanpa pengetahuan kedua orang tua Najah, Tan Sri Hanafi. Mereka berlakon bila mencecah kaki di tanahair. Seolah-olah tidak mengenali satu sama lain. Hanya diketahui oleh kakak Najah. Tasha tidak betah tinggal di rumah umi nya tanpa sebarang kerja, cuma menjadi bibik dalam rumah umi yang tiada penghuni. Namun setiap waktu lunch Najah akan pulang ke rumah umi untuk bertemu kekasih hati sambil makan tengahari.


Tidak lama mereka begitu, kakak Najah memberikan apartment untuk mereka berdua diami buat sementara waktu. Tasha pula mendapat kerja di bahagian payroll syarikat Tan Sri Hanafi di JB. Najah akhirnya nekad untuk memberitakan penikahannya pada keluarga saat makan malam sekeluarga. Mamanya membantah keras dan menghalau Najah keluar dari rumah mereka dan menganggap Najah anak derhaka sekiranya tidak mengikut katanya untuk mengahwini Farah anak rakan baik mamanya.
Najah pasrah, tetapi tetap enggan berkahwin lain. Tasha pula tertekan, dan membawa diri ke kampung halaman uminya di Muar. Tanpa disedari Tasha telah mengandung 2 bulan. Setelah seminggu bercuti, Tasha kembali bekerja dan Najah berusaha memujuknya. Akibat tertekan dengan keadaan, kandungan Tasha tidak dapat diselamatkan dan dia tumpah darah.

Dalam pada itu, Najah pula menghidap barah otak dan barah paru-paru peringkat ketiga. Dia merahsiakan dari Tasha. Tidak lama selepas keguguran, Tasha hamil kembar, tapi keadaan Najah semakin serius dan tidak dapat diselamatkan lagi. Kejadian ragut pada mamanya itu telah menginsafkan mamanya. Kebetulan Tasha berada disitu sewaktu kejadian ragut, Tasha telah bergelut untuk menyelamatkan mamanya, tanpa memikirkan kandungannya, dan hampir-hampir Tasha kehilangan sikembar dalam kandungan.

Setelah kelahiran sikembar, Najah sempat bermain dengan anak-anaknya yang masih menyusu. Tidak lama selepas itu, Najah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kenapa perlu ada ending yang menyedihkan?? oh tidak! setelah berpuluh novel yang aku baca, ini lah antara novel2 yang menyedihkan...

Setiap Kehidupan ditemani Kematian. Mati itu pasti.


Rating saya:

**** (best ayat2nya, cuma sedih banget tak sanggup lagi nak teruskan akhir2 chapter - harus ku baca speed reading)