Pencinta Novel

March 18, 2009

Aina Emir - Hanya Kita Berdua



Pengarang : Aina Emir
Penerbit : KarnaDya
ISBN : 978-983-3316-38-0
Harga : RM19.90
Sinopsis Belakang Buku:

Hanya Kita Berdua akan membawa anda ke sebuah pekan kecil di persisiran pantai negeri Perak. Di sana anda akan temui Najla Haifa dan keluarganya yang kaya. Anda juga akan temui Adil, remaja yang tidak setaraf dengan Najla. Malangnya, satu peristiwa telah berlaku dan memisahkan mereka berdua.
Pertemuan dengan Danni seorang lelaki romantis lagi penyayang telah mengubah hidupnya. Berjayakah Danni untuk menjadikan Najla isterinya dan apakah pula rahsia yang sekian lama terselindung dan mencemarkan nama keluarga gadis itu?
Sebuah novel berunsur kekeluargaan, sarat dengan pertelingkahan dan dendam berpanjangan, namun mempunyai plot cerita yang romantis, terselit unsur humor dan penuh dengan persoalan.

Ringkasan dari saya:

Kisah tentang seorang wanita yang menyimpan cinta remaja hingga dewasa. Menunggu Adil kekasih semasa zaman cinta monyetnya. Adil pula telah dihalau oleh keluarga Najla sendiri setelah difitnah oleh keluarganya. Adil dan ibunya melarikan diri ke Klang tanpa sebarang berita. Sungguhpun begitu Najla masih setia menunggu walaupun setelah berbelas tahun perkara tersebut berlalu.

Najla yang bertugas di pejabat pengiklanan telah disunting oleh majikannya Danni. Pada mulanya Najla menolak dengan lembut pelawaan Danni. Tetapi setelah dinasihati oleh kaum keluarga, dia pelahan-lahan menerima undangan Danni. Akhirnya dia berjaya meninggalkan rasa cinta pada Adil dan menggantikan dengan Danni.

Kejadian tidak disangka-sangka berlaku, Adil akhirnya pulang ketika sebulan lagi tarikh pernikahan Najla-Danni. Pada mulanya Najla gementar untuk bertemu Adil, tetapi dia berjaya menguatkan dirinya dan meyakinkan dirinya untuk menerima Danni sepenuhnya.

Beberapa perkara berlaku setelah kepulangan Adil ke kampungnya. Tok Mat Kaya, datuk Najla telah menghilangkan diri dan khabar angin mengatakan datuknya telah bernikah dengan ibu Adil. Ini telah menyebabkan keluarga Najla huru-hara. Abang-abang Najla memang menyimpan dendam dengan Adil. Rahsia keluarga akhirnya dibongkar oleh Najla dalam diam. Dia berjaya mendapat maklumat tentang kedua-dua abangnya tentang perkara yang sebenarnya telah berlaku terhadap Adil.

Adil difitnah memperkosa Julia sepupu Najla, disebabkan itu Adil telah dihalau dari kampung, hakikat sebenar Julia telah mengandungkan anak2 abang2 Najla, dan akhirnya Julia melarikan diri ke Seremban. Namun begitu, ketika Julia mengandung 7 bulan, dia telah mengadu nasib dengan Tauke Lim (rakan niaga Tok Mat Kaya). Dan Tauke Lim telah membawa Julia ke rumah Adil di Klang. Di situlah Julia melahirkan Najmi, dan meninggalkan anak yang tidak cukup bulan itu untuk dijaga oleh ibu Adil dan Adil sendiri. Sedangkan Julia membawa diri dan memulakan hidup baru di Sepang. Adil telah berusaha untuk membesarkan Najmi dengan melakukan pelbagai pekerjaan, hingga dia merantau menjadi kelasi kapal. Dari situ dia menyimpan dana dan menjadi ahli perniagaan di Timur Tengah dan membawa ibu serta Najmi berhijrah ke Dubai. Hinggalah beberapa tahun kebelakangan di mana dia kembali semula ke tanah air untuk menguruskan perniagaan usahasama di Malaysia.

Sementara itu, Najla pula telah keguguran dan ketika dia sakit, Danni pula telah terlibat dalam nahas kemalangan helikopter terhempas di Sarawak ketika menjalankan tugas pengiklanan di sana.

Pada saya, cerita kali ini, banyak flashback yang sedikit demi sedikit, menyebabkan kita terpaksa menyelak kedepan untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku.

Komen saya:
*** (3 bintang, cerita penuh adegan)

March 10, 2009

Lintang Sugianto - Matahari di atas Gilli






Harga : RM25.50 / RM RM28.50 (Sabah & Sarawak),


ISBN :978-983-3892-18-1;


Tarikh Terbit: 25 September 2008 ;


Jumlah Muka Surat : 488 halaman


Penerbit : PTS Litera




Sinopsis:



Kisah seorang gadis bernama Suhada yang berkahwin dengan Suamar seorang pemuda dari Pulau Gilli. Suhada kemudian mengikut suaminya ke Gilli dan tinggal di situ.
Di Gilli, Suhada melihat anak-anak di situ tidak mempunyai pelajaran lalu Suhada berusaha memberikan pendidikan kepada anak-anak di pulau itu tetapi mendapat tentangan daripada penduduk di sana.

Namun setelah berusaha akhirnya Suhada berjaya meyakinkan penduduk Pulau Gilli berkenaan kepentingan ilmu. Walaupun pada akhirnya, atas suatu sebab Gilli menjadi berbeza.

Ringkasan Cerita dari sudut pandangan saya:


Novel ni boleh dibahagi kepada 3 bahagian, bahagian pertama kisah Suhada dibesarkan dari kecil hingga dewasa, kedua bila tiba saat dia berkahwin dengan Suamar yang berasal dari Gilli, dan bagaimana Suhada sebagai orang asing dalam pulau Gilli tersebut membawa bersama budaya bersekolah di pulau yang terpinggir itu. Akhir bab kedua ini juga menyaksikan detik-detik pilu bilamana Suhada meninggal ketika melahirkan anak sulung mereka disaat-saat genting sewaktu Suamar di perantauan dan dalam perjalanan pulang. Bahagian ketiga pula kisah Suamar yang hilang pertimbangan dan tidak lagi dapat berfikir dengan betul setelah tamparan hebat kehilangan Suhada yang amat disayanginya

Membaca novel ini bagai membaca setiap suasana di pulau Gilli. Pantai yang indah, anak-anak nelayan yang ketagihkan ilmu, dan warung Buk No yang menjadi tempat tinggal Suhada bila dia ditinggalkan Suamar. Suasana persekitaran digambarkan dengan penuh terperinci.

Walaupun begitu, kisah perjuangan Suhada mati ditengah-tengah perjalanan novel. Ada satu bab mengisahkan tentang seorang ustaz yang tidak diketahui asal usulnya, tapi akhir novel ini, kita sebagai pembaca masih tidak mengetahui siapa dan kenapa watak ustaz ini berada di dalam novel ini. Adakah Sabam (anak Suhada) itu adalah ustaz tersebut? Tetapi ada juga dalam penceritaan itu, Buk No memberi sedekah kepada ustaz, dan juga satu picisan perenggan yang menyatakan Suamar pergi bertemu ustaz tersebut sambil mengadu keadaan emosi dirinya yang tertekan dan menangis disisi ustaz tersebut

Akhirnya Suamar pergi juga bertemu Suhada, dan meninggalkan Sabam bersama Buk No.. adakah Sabam yang menyambung kerja-kerja Suhada disamping Pak Karta?... (pun tidak dapat dipastikan diakhir novel ini

Rating saya
**** (suatu yang lain dari yang lain.