Pencinta Novel

August 4, 2009

Warkah Cinta Berbau Syurga - A. Ubaidullah Alias


Pengarang : A. Ubaidillah Alias
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Harga : RM 23.50
ISBN : 978-983-3603-91-6

Sinopsis

Amir Mukhlis seorang mahasiswa yang membesar dalam atmosfera agama yang subur. Hidupnya mula teruji apabila Wardah mengharapkan sebuah keputusan. Lalu Balqis muncul membawa harapan. Akibatnya, salah faham tercetus antara Amir dan teman serumahnya. Dalam kegetiran menjadi mahasiswa tahun akhir, Amir perlu menyelesaikan konflik perasaan dan persahabatan. Kesihatannya turut terjejas. Mampukah Amir membuat keputusan tepat untuk keluar dari kemelut ini.

Ringkasan dari saya:

Kisah mahasiswa yang bermula dari alam persekolahan, dan mula mengalami zaman remaja. Bagaimana seorang hafiz menangani masalah hubungan antara lelaki dan perempuan, dan seterusnya mengalami kedewasaan. Kisah seorang Amir Mukhis yang bermula dari seorang yang pasif di sekolahnya dan kemudian Ustaz nya memberinya peluang untuk tampil kehadapan melalui tulisan-tulisannya yang begitu menarik, dan akhirnya menjadi pemidato. Dari situ dia beroleh keyakinan diri yang tinggi. Dan dalam pada itu, seorang gadis dari sekolah Naim Lilbanat (sekolah agama perempuan) - Wardah menaruh hati padanya hanya dengan melalui pembacaan dari artikel yang ditulis oleh Amir dalam majalah sekolah.

Dari situ, mereka berutus surat, tetapi Amir tegas dengan pendiriannya tidak mahu mencampuri emosi dengan pelajaran. Amir banyak memberi nasihat kepada Wardah supaya menumpukan diri dalam pelajaran, dan ternyata Wardah muncul pelajar cemerlang SPM dan Amir pula hanya mendapat keputusan SPM yang sederhana walaupun muncul antara tempat 15 teratas.

Wardah pasrah dengan nasihat Amir supaya menumpukan pelajaran, dan Amir meneruskan pelajaran untuk mengambil STAM. Keputusan Amir memihak kepada pilihannya untuk ke Universiti Kaherah. Dan hubungan mereka terputus, tiada lagi surat2 dari Wardah, yang hanya ada berita dari Ramli (sepupu Wardah). Di saat dia bergelumang dengan peperiksaan Ramli menghantar berita menyatakan Wardah disunting rakan keluarga Wardah, dan seorang arkitek yang kaya, keluarga yang merupakan rakan baik kepada ayah Wardah. Wardah akur dengan keputusan keluarganya dan menerima bakal suaminya dengan redha hati. Sementara itu Amir juga mendoakan agar Wardah bahagia, sudah tentu pilihan keluarganya pilihan yang terbaik untuk Wardah.

Tetapi langit tidak selalu cerah, sms Ramli mengatakan Wardah dimasukkan ke wad dan sedang sakit. Tidak lama selepas itu, sms datang lagi mengatakan Wardah sudah meninggal dunia. Amir pasrah dan yang hanya tinggal doa sahaja yang dapat dititipkan.

Sementara itu di Kaherah, gadis yang baru mendaftar diri (Balqis) terpikat dengan rencana yang ditulis dalam majalah keluaran Keris. Balqis pula diminati oleh rakan serumah Amir, dan Izzudin dan Romzi berebut memikat Balqis dengan memberi pertolongan pada Balqis. Sedangkan Balqis masih tercari-cari siapa pemberi sapu tangan ketika dia jatuh tempohari. (sudah tentu Amir). Dan Balqis masih mengingati suara si pemberi sapu tangan, walaupun dalam kesamaran cahaya, tidak dapat mengecam kelibat si pemberi.

Akhirnya, ketika imtihan berakhir, Balqis mendapat jawapannya. Dan ketika itu, sudah terlewat, Amir disahkan menghidap barah otak. Dan Amir kembali ke tanahair, dengan segulung ijazah....

Komen saya: **** Baik dan sesuai dibaca oleh remaja, banyak tauladan dan panduan tentang hubungan antara lelaki dan perempuan..