Pencinta Novel

June 30, 2011

Stanza Cinta - NurullHalawati





Add to cart
Tajuk: Stanza Cinta
Penulis: NurullHalawati
Terbitan: Galeri Ilmu
Bil mukasurat: 406
Harga: RM19.00

Sinopsis Belakang Buku:

Amni Sorfina memerlukan seorang lelaki yang mampu membimbingnya, bukan lelaki yang dia perlu bimbing. Dalam masa yang sama, dia berasa bertanggungjawab membimbing Irfan ke jalan yang lurus.

Perlukah dia mengorbankan cintanya yang terlalu mendalam buat Taufiq, demi menunaikan sekeping janji dan amanah?

Berhadapan dengan saat paling sukar dalam hidupnya, Amni harus belajar tersenyum dalam derita dan bersangka baik dengan segala takdir Allah buatnya.
Apakah ini bermakna dia harus melepaskan pergi sesuatu yang paling diinginkan, yang sejak sekian lama baru ditemui?


Sinopsis dari saya:

Kisah nya agak berbeza dengan yang di dramakan di TV3. Watak Auni tidak berapa menyerlah di dalam novel, sedangkan di dalam drama mungkin Auni budak tomboy yang meminati Amni Sorfina.

Amni seorang pelajar jurusan senibina, sibuk dengan tugasan untuk semester akhir dan dia pula dibayangi Irfan, pelajar jarak jauh dalam bidang kejuruteraan. Pertemuan secara tidak sengaja menyebabkan Irfan mula meminati Amni. Perhatian demi perhatian diberikan, namun Amni tegas dengan pendiriannya bahawa cintanya milik tuan punya tulang rusuknya, iaitu suaminya. Ketika bakal suaminya datang nanti hati nya akan terbuka untuk menerimanya bukannya menolak sepertimana perasaannya pada Irfan sekarang. Irfan bukanlah lelaki dambaan atau pujaan malahan jauh sekali dari lelaki anganannya yang bakal menjadi imam dalam keluarganya.

Hati Amni hancur luluh apabila mendapat tahu rakan paling baiknya, yang dia sayangi dan cintai kerana Allah, Umairah pergi menemui ilahi. Saat itu, Taufiq hadir memberi semangat padanya. Lelaki yang didambakan telah hadir dalam hatinya, cuma penghalangnya adalah jarak di antara mereka dan juga musyuarah jemaah di sebelah Taufiq berat untuk melepaskannya ke alam perkahwinan. Amni redha dengan ketentuannya, walaupun hatinya sudah berkobar-kobar untuk menerima Taufiq seadanya. Mahalan kedua ibu bapa Amni juga setuju, dan ibu sebelah Taufiq juga setuju. Cuma jemaah yang dianggotai Taufiq masih bimbang dengan status Taufiq yang baru sahaja kehilangan abinya dan masih baru dalam bidang pekerjaan.

Sekali lagi Amni merasakan hatinya luluh. Pernikahannya ditangguhkan, malahan tidak jadi. Tampil pula Irfan bertanyakan dirinya, lalu Amni tidak lagi membantah. Saat cinta baru sahaja ingin bersemi di hati Amni, Irfan pula ditimpa musibah dengan penyakit SLE, yang tiada ubatnya. Dia pula pergi menemui ilahi saat Amni sangat menyintainya. Inilah dugan dan ujian yang perlu ditempuhi Amni. Dia pasrah atas ketentuanNya. ....

Rating saya:
***** 5 bintang... sesuai dibaca dikalangan remaja wanita dan sangat membimbing ke arah kebaikan seorang muslimah sebenar. Thanks Nurull!!!!!!
p/s: sediakan tisu sekotak sekiranya ingin membaca sehari terus habis okay.... sangat meruntun hati saya.

June 16, 2011

M.A.I.D -Suri Ryanna


Klik untuk Membeli


M.A.I.D~Suri Ryana
Kaki Novel
MYR26.00
ISBN: 978-967-5067-77-8

Pengembaraan Noorul ke alam yang serba baru bermula semenjak menjadi pembantu rumah di penthouse mewah seorang lelaki kacak bernama Harris Tan Sri Hamdan, yang cerewetnya mengalahkan nenek kebayan. Oleh kerana sifatnya yang cerewet itu, Noorul menggelar Harris Mr. F. Kenapa F, bukan G atau H? Kerana F itu adalah untuk ‘fussy’ atau di dalam bahasa Melayunya cerewet! Semua yang Noorul lakukan sentiasa mengundang tengkingan dan jelingan tajam Mr. F.

Daripada berbalas-balas nota berkaitan dengan kerja pada awalnya, entah bagaimana mereka boleh makan semeja. Semakin lama Noorul mengenali Mr. F semakin banyak pula sebab yang dia temui untuk mencintai lelaki itu.

Fitnah yang melanda menyebabkan Noorul dan Mr. F terpaksa dinikahkan. Gusarnya hati, Allah sahaja yang tahu kerana dia tidak pasti sama ada Mr. F boleh menerimanya sebagai isteri atau tidak. Noorul mula berteka-teki sendiri tentang siapa dalang di dalam penyebaran fitnah ini. Adakah angkara Asyraf, yang sememangnya berdendam dengan Noorul? Atau pun, musuh perniagaan Tan Sri Hamdan? Mampukah Noorul dan Mr. F melayari bahtera rumah tangga bersama? Bagaimana pula dengan Elisa yang sememangnya cintakan Mr. F? Apa pula yang akan terjadi apabila Nurina, bekas kekasih Mr. F pulang ke Malaysia untuk menagih kembali cinta daripada lelaki itu? Haikal pula, dapatkah menerima Noorul, orang yang dicintainya sebagai kakak ipar?

Komen dari saya:

Kisah budak perempuan yang menganggur, selepas diberhentikan kerja dari kilang yang telah ditutup, dia memohon pekerjaan sebagai pembantu rumah yang berdaftar di agensi pembantu rumah. Noorul mendapat majikan di sebuah condo di pulau pinang. Dengan gaji yang agak lumayan dia hanya perlu datang pagi dan balik petang sebelum majikannya pulang. Setelah hampir sebulan dia berjaya mengelakkan diri dari bertembung dengan majikannya, akhirnya dia terpaksa bertemu juga.

Majikannya Harris, seorang anak Tan Sri yang mahu bekerja sendiri sebagai jurutera. Dia juga mempunya adik yang dipanggil Carl-Haiqal. Sejak pertemuannya dengan majikannya, dia dipaksa menyediakan sarapan pagi. Haiqal pula mulai terpikat dengan Noorul, dan sanggup berpindah ke condo bersebelahan dengan abangnya, demi memikat Noorul. Manakala ibu Noorul yang tinggal berdua sahaja dengan adiknya Nurin, mulai gelisah setelah Makcik Leha yang berjiran, mulai bertanya tentang jodoh Noorul dengan anaknya Asyraf.

Noorul pula tidak dapat menerima Asyraf, setelah Asyraf menghinanya sebagai budak kilang. Walaupun dia miskin dan kurang pelajaran, tetapi dia tidak sanggup dihina. Asyraf pula memaksa Noorul memberitahu ibunya yang Noorul sudah mempunyai kekasih hati, jadi Asyraf tidak perlu memberitahu Makcik Leha yang mereka tidak mungkin disatukan. Tetapi Noorul enggan berbuat demikian. Sekiranya Asyraf yang tidak mahukan dia, sepatutnya Asyraflah yang memberitahu perkara sebenar kepada Makcik Leha.

Kebetulan ketika Noorul mengekori Asyraf, dia terkejut, bila pasukan pencegah maksiat datang dan menangkap Asyraf dan pasangannya. Asyraf mengesyaki Noorul yang membuat laporan kepada pencegah maksiat. Asyraf menyimpan dendam lalu mengupah orang untuk mengambil gambar Noorul yang ketika itu sedang mengelap air tumpah di dada Harris. Dengan tersebarnya gambar tersebut ke tangan Tan Sri HAmdan, dan juga ibu Noorul, mereka berdua dipaksa bernikah dengan segera demi menutup maruah keluarga. Noorul pasrah, dan Harris pun begitu juga.

Setelah beberapa ketika mereka bernikah, masing-masing masih menganggap diri sebagai pekerja dan majikan. Sedangkan didalam hati masing-masing menaruh harapan. Tetapi tidak diluahkan. Pelbagai dugaan dihadapi Noorul dimana dia tidak dapat diterima oleh Puan Sri Kirana yang sudah mempunyai calon isteri untuk Harris. Konflik demi konflik berlaku. Dan akhirnya.....

Rating saya:
***1/2 (tiga setengah dari lima bintang).

Sebab panjang sangat cerita yang mula-mula tu, kemudian last sekali tentu dapat diagak...

June 15, 2011

Kitab Cinta Yusuf Zulaikha - Taufiqurrahman al -Azizy




Tajuk : Kitab Cinta Yusuf Zulaikha
Penulis: Taufiqurraham Al-Azizy
Harga: RM28/=
Terbitan Global Aksara Communication SDN BHD
ISBN: 978-983-44092-0-3
Tahun: 2008
Asal terbitan Diva Press, Jogjakarta


Sinopsis Belakang Buku:

Novel Spiritual Cinta dan Iman berlandaskan Al-Quran

"Saya takut menjadi musyrik. Saya takut menyekutukan Cinta saya kepad Allah kerana cinta saya kepada Yusuf. Saya rindu untuk dikasihi Allah, tetapi hati saya dipenuhi kerinduan kepada Yusuf. Apakh saya sudah menjadi musyrik? Ustaz... tolonglah saya! Demi Allah, saya tiada kuasa untuk memilih satu cinta dari kerinduan ini.



Rintihan Zulaikha merobek angkasa malam. Cinta dan kerinduannya kepada Yusuf semakin mendalam. Inilah kitab cinta seorang wanita muslimah kepada Yusuf - seprang pemuda muslim yang diberkati wajah yang bercahaya. Mungkinkah takdir Yang Maha Kuasa membimbingnya menyatukan jiwanya dengan jiwa Yusuf, sekalipun jalan cinta yang harus dilalui oleh sepasang insan akan berliku? Cinta, keminanan, kerinduan, keindahan, mengamuk bersama menyalakan api kecemburuan, iri hati, kebencian, kekecewaan, kepedihan, nafsu dan amarah. Sangat menguji iman...



Inilah novel spiritual cinta dan iman berlandaskan kisah Al-Quran yang telah dieksporasi ked dalam kehidupan, pengalaman dan perilaku umat kontemporeri. Sebuah inspirasi hidup bagi kaum muslimin/muslimat dalam menjalankan ibadah, cinta dan obsesi hidupnya. Sebuah mahakarya novelis muslim terkemuka saat ini.



Ringkasan dari saya:



Novel ini pun saya cari sebab saya dah tengok satu episod Kitab Cinta- arahan Erma Fatima di tv astro al Hijrah channel 114, malam rabu-khamis jam 9 malam.



Dalam novel adalah kisah mengenai sekumpulan penuntut di universiti membuat kajian di desa Telagasari, tentang kehidupan masyarakat kampung. Zulaikha merupakan salah seorang penuntut yang terlibat. Manakala Yusuf pula seorang pemuda desa yang dibesarkan dengan serba kekurangan. Kematian ibunya sewaktu masih kecil. Dia dibesarkan oleh bapanya Yaakub, yang mendidiknya dengan penuh kasih sayang dan pendidikan Islam yang sempurna.



Yusuf membesar menjadi pengembala kambing ayahnya dilereng bukit, dan mempunyai wajah yang sangat menarik, serta tubuh yang seenaknya sebagai penduduk desa. Dia seringkali mendekatkan diri dengan Allah swt, dan sejak kecil diajar dengan budi pekerti yang mulia. Dia menjadi idaman gadis-gadis desa dengan perwatakan dan keterampilannya yang menarik. Umar pula sahabat baiknya, merupakan anak ketua kampung yang sedang belajar di universiti di kota. Umar akan sentiasa membelikan Yusuf buku-buku yang menarik, yang mana Umar sendiri tidak minat membacanya, cuma minat membelikannya untuk Yusuf, yang dia tahu tidak mampu membeli Kitab-kitab Islami yang menarik.



Yusuf, membaca dan mendalami ilmu dari bahan bacaan yang diperolehi, di samping mendengar cerita-cerita yang dikisahkan Umar setiapkali Umar pulang ke desa. Pertemuan antara Zulaikha dan Yusuf bermula di rumah Yusuf, apabila kumpulan Zulaikha datang ke rumah Yusuf untuk berbual mesra dengan penduduk kampung. Dari situ Zulaikha cuba menafikan hatinya yang sudah mula terpaut dengan hati budi serta wajah Yusuf. Manakala Yusuf pula hanya melayan secara biasa-biasa sahaja pada mereka.



Dalam pada yang sama, jiran Yusuf, rakan sepermainannya sewaktu kecil, Atikah pula menaruh hati pada Yusuf. Pada suatu malam, Atikah telah mencerobohi rumah Yusuf, dan memaksa Yusuf menyentuhnya. Yusuf berlari keluar, dan ayahnya mengusir Atikah dari rumah mereka. Keesokkan harinya tersebarlah fitnah dari keluarga Atikah mengenai insiden tersebut. Umar memujuk Yusuf untuk bersabar, tetapi Yusuf nekad untuk berhijrah ke kota, demi maruah diri dan ayahnya.



Dengan berbekalkan wang yang diberikan oleh Umar, Yusuf memohon restu dari ayahnya, lalu berhijrah ke kota. Bermulalah episod kesusahan Yusuf di kota. Hanya berserah kepada Allah swt dan bertawakkal kepadaNya, Yusuf menumpang di sebuah masjid, dan memohon kepada Imam dan penjaga masjid untuk tidur di situ. Imam dan penjaga masjid pada mulanya ragu-ragu dengan Yusuf, tetapi setelah melihatkan Yusuf yang bersolat jemaah setiap waktu serta mengaji dan taat dengan aturan di masjid, akhirnya Yusuf diberi peluang menjadi muazzin di situ.



Manakala Zulaikha pulang semula ke rumah, tetapi telah jatuh sakit. Dia meracau-racau menyebutkan nama Yusuf. Bapa Zulaikha memanggil Ustaz Iqbal untuk mengubati anaknya, ternyata penyakit Zulaikha adalah penyakit rindu pada Yusuf. Ustaz Iqbal menasihati Zulaikha untuk menyerahkan cintanya pada Allah swt. Dan mencadangkan pada bapa Zulaikha agar membenarkan anaknya itu mencari Yusuf di desa.



Sesampai sahaja Zulaikha di desa Telagasari, Yusuf sudahpun tiada di situ, di nekad menunggu kepulangan Yusuf. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, Zulaikha menumpang keluarga Atikah, walaupun penduduk kampung tidak menggalakkannya, bimbang dendam terhadap Yusuf masih bersisa. Ternyata memang betul. Keluarga Atikah merencanakan agar Zulaikha jatuh cinta dengan Umar, bergitu juga sebaliknya.



Sementara itu, di rumah Zulaikha, bapa Zulaikha telah menemui seorang pemuda yang sangat bijak di masjid. Setiap malam ada sahaja perbincangan tentang pelbagai masalah agama selepas solat Isya'. Lalu bapa Zulaikha meminta pertolongan tentang masalah yang dihadapi Zulaikha pada pemuda tersebut. Bapa Zulaikha yang kaya raya itu, terpikat dengan pemuda yang pandai mengaji, muazzin yang sedap dan tampan pula. Dia mula menaruh hati pada pemuda tersebut, lalu mengajaknya tinggal dirumah. Pemuda tersebut Yusuf, dengan pekerjaan sambilannya pengilat kasut di masjid, meninggalkan pekerjaannya lalu menjadi tukang kebun bapa Zulaikha.



Setelah hampir 4 bulan tanpa sebarang berita dari Zulaikha, ayahnya jatuh sakit. Mendengarkan berita tersebut, rakan Zulaikha yang sama-sama pergi ke desa Telagasari dahulu, Rindu datang ke rumahnya dan dia terkejut melihatkan Yusuf berada di situ. Lalu dia mengkhabarkan pada ayah Zulaikha bahawa Yusuf yang dicari Zulaikha itu adalah pemuda yang sama. Alangkah gembiranya ayah Zulaikha, dan penyakit yang dihidapinya mulai sembuh.



Rindu, Yusuf dan beberapa rakan yang lain, berpakat untuk kembali ke desa Telagasari, mencari Zulaikha. Setibanya di desa, orang-orang kampung mengkhabarkan pada Yusuf, yang Umar akan mengahwini Zulaikha.. Hati Yusuf hancur luluh mendengarkannya...



LAst.. kena baca sendiri... suspen juga..



Rating saya: **** (4/5 bintang) BEST~!BEST~!

June 14, 2011

Kasih Yang Suci - Meen Zulaikha (Drama Nora Elena)




Klik untuk membeli

Tajuk : KAsih Yang Suci

Author: Meen Zulaikha

Harga : Rm19.90

Penerbit: Alaf21

Bil Mukasurat: 573

Berat 650gm (poslaju RM7)

ISBN : 983-124-288-9




Sinopsis Belakang Buku:


Sepuluh tahun yang tahun lalu, kesucian Nora Elena dinodai. Andai masa boleh diulang kembali, pasti jiwanya tidak punah. Tapi dia sedar, takdir hidup tidak memihak kepada sesiapa. Saiful Idham, tunangnya pergi kerana tragedi ini. Tiba - tiba muncul Seth menawarkan diri untuk menjadi suaminya. Nora Elena keliru...

Ternyata doa Seth dimakbulkan. Sepuluh tahun dia menjejaki gadis itu. Nora Elena, cinta yang bermula dari pandang pertama. Namun kenyataan tidak seindah impian. Hangatnya asmara Seth, namun hanya dia yang terbakar sendiri. Rasa cinta isterinya tidak dapat disentuh walaupun hakikatnya mereka berkongsi ranjang yang sama. Jiwa lelakinya merintih. Nora Elena bagai bayang - bayang yang tidak dapat dipegang.

"Hakikatnya, aku suami dan kau isteri. Perkahwinan ini adalah simpulan mati. Hanya maut yang akan memisahkan kita berdua," tegas Seth

Tapi mengapa Elena menjadi wanita asing dalam perkahwinan ini? Rahsia yang selama ini disimpan kemas akhirnya terbongkar. Sebenarnya...Sethlah lelaki durjana itu. Menodainya atas alasan kerana kasihnya yang suci! Benarkah?
Lelaki adalah nafas itu dan wanita adalah nadi jiwa...saling memerlukan dan mencintai. Dan cinta itu maknanya saling dan menerima.
Nora Elena akhirnya reda menerima Seth. Dia tidak akan menoleh lagi kerana lelaki itulah syurganya di akhirat nanti.

Ringkasan Dari Saya:


Buku ni saya beli sebab penangan tengok drama Nora Elena dalam slot akasia TV3 jam 7ptg. Mungkin pelakon-pelakon yang berbakat menyebabkan cerita dalam novel ni jadi best. Sebab boleh bayangkan bagaimana Seth dan Nora Elena. Walaupun begitu, drama ada sedikit kelainan, dengan mewujudkan watak baru seperti Inspektor Amir , dan mentiadakan watak rakan serumah Elena yang kedua.


Kisah bermula bilamana Elena yang sudahpun bertunang dengan Eid, bertelagah setelah Elena berterus terang dengan keadaan dirinya yang sudah dinodai. Eid pula kebetulan bekerja di syarikat milik Seth. Dan mereka semua bekerja didalam satu bangunan. Eid tidak dapat menerima kenyataan, dan menuduh Elena sanggup melakukan kerja terkutu. Eid lalu memutuskan pertunangan mereka tanpa berfikir panjang.


Dalam waktu yang sama, Seth yang sudah lama mencari-cari Nora Elena, akhirnya bertemu semula dengan bantuan Maria *yang ni dalam drama*. Sewaktu Elena buntu memikirkan saat tarikh pernikahan yang semakin hampir dan pertunangan yang diputuskan oleh Eid, Seth tampil menawarkan diri untuk menyelamatkan keadaan. Elena terpaksa menerima Seth, dan keluarga Elena pula sudah lama mengenali keluarga Seth sewaktu mereka di Mersing. Keluarga Seth merupakan keluarga cina kedai runcit yang selalu menolong orang kampung sewaktu Elena tinggal di Kampung Sepakat, Mersing.


Tanpa menunggu lama, pernikahan dilangsungkan. Namun Nora masih tidak dapat menerima Seth sebagai suami. Mereka berpura2 mesra dihadapan keluarga, hakikatnya, Nora masih mencintai Eid. Seth pula sanggup bersunat, dan menjadi muallaf. Akhirnya Nora menerima Seth seadanya di Cameron. Saat bahagia mereka bergolak, bilamana Nora menemui Sarung Ski dan pisau yang digunakan Seth semasa melakukan perbuatan terkutuk pada Nora Elena.


Nora Elena pula didapati mengandung, dan muntah-muntah. Nora memarahi Seth setelah mengetahui perkara sebenar. Dia bertindak nekad untuk meminta cerai setelah habis berpantang. Seth hanya diam. Saat Nora hendak melahirkan anak, rakan baik Nora, Nila meminta pertolongan setelah didera suaminya, Nora tanpa berfikir panjang mengejutkan Seth untuk pergi menyelamatkan Nila. Ketika Seth di rumah Nila bersama polis, untuk memujuk Karim suami Nila, air ketuban Nora pecah. Nora berpesan pada Kak Pah, dia akan memandu sendiri ke hospital.


Di saat Nora sakit bersalin, Seth memujuk Nora. (terharunya baca)... sebab Adila ada pesan dengan Nora suruh minta maaf dengan Seth sebab nak bersalin adalah pertarungan nyawa hidup dan mati.


Setelah selamat bersalin, Nora dibawa ke rumah Seth dan ibu bapa Nora datang untuk menjaga Nora. Nora terpaksa berlakon mesra dengan Seth. (ni pun terharu juga).. baik nya Seth.

Yvonne yang dengki dengan Nora kerana tidak dapat menggoda Seth, datang berpura-pura baik dengan kak Pah, saat itu dia menculik baby Nora. Nora meraung-raung.... Seth panik. Mujur juga Yvonne fikir singkat. Dia ugut Seth untuk daftar perkahwinan di pejabat baru dia pulangkan baby. Seth terpaksa mengikut arahan Yvonne.


Kebetulan pula Baby tersebut diserahkan pada rakan Yvonne untuk menjaga sementara dia daftar perkahwinan. Saat Seth sampai, Yvonne sudah pun menunggu di pejabat pendaftaran. Sms sampai di telefon Seth, dari rakan niaganya Mr Lim, yang baby sedang berada bersamanya. Kebetulan Seth mengkhabarkan dengan Mr Lim yang dia ada urgent matters, baby dia kena culik, dan Mr Lim forward pada pekerjanya (rakan Yvonne yang menjaga baby tersebut).


Seth berpatah balik ke kereta, lalu menderu laju menuju ke pejabat Mr Lim. Yvonne pula mengejarnya tanpa menghiraukan lampu isyarat, dan dentuman kuat, mengakhiri riwayat Yvonne yg terperosok dibawah trailer....


TAMAT..


Rating Saya:

Pfuhhh... suspens **** (4/5 bintang)

Tonton Drama Nora Elena Episod 1
Tonton Drama Nora Elena Episod 2
Tonton Drama Nora Elena Episod 3
Tonton Drama Nora Elena Episod 4
Tonton Drama Nora Elena Episod 5
Tonton Drama Nora Elena Episod 6
Tonton Drama Nora Elena Episod 7
Tonton Drama Nora Elena Episod 8
Tonton Drama Nora Elena Episod 9
Tonton Drama Nora Elena Episod 10
Tonton Drama Nora Elena Episod 11
Tonton Drama Nora Elena Episod 12
Tonton Drama Nora Elena Episod 13
Tonton Drama Nora Elena Episod 14
Tonton Drama Nora Elena Episod 15
Tonton Drama Nora Elena Episod 16
Tonton Drama Nora Elena Episod 17
Tonton Drama Nora Elena Episod 18
Tonton Drama Nora Elena Episod 19
Tonton Drama Nora Elena Episod 20
Tonton Drama Nora Elena Episod 21
Tonton Drama Nora Elena Episod 22
Tonton Drama Nora Elena Episod 23
Tonton Drama Nora Elena Episod 24