Pencinta Novel

July 17, 2018

Pulang - Lily Haslina Nasir


Tajuk : Pulang
Penulis: Lily Haslina Nasir
Terbitan: Karyaseni
Tahun: 2018
Bil ms:512
ISBN: 9789674690861

“Tiada laut yang terlalu luas buatku. Di sebalik ombak yang cuba menjatuhkan, aku temui kekuatan diri.”

Berpuluh tahun aku menanti. Berpuluh tahun aku mengharap. Aku kumpul rindu yang tak pernah berkurang. Allah mengirimkan aku kekuatan dan kesetiaan sebagai isteri. Aku tetap menunggu engkau pulang, Othman!

Perlahan-lahan, banyak yang aku pelajari apabila aku mengenali lelaki seperti Othman. Dia lelaki yang terasuh melalui ombak dan ribut taufan. Dia lelaki yang tahan dibanting dan dihempas. Untuk perempuan yang setia pada cinta seperti aku, aku terpaksa menerima hidupnya sebagai anak laut dengan pasrah.

Entah berapa banyak air mata tumpah. Entah berapa kali laut memisahkan kami. Othman terlalu memuja laut biarpun laut kadangkala seperti mahu menguburkannya di dasar yang penuh karang itu. Engkau tak pernah tahu, rasa sengsara apabila saling mencintai tapi diri dibatasi jarak dan waktu. Akhirnya yang tinggal cuma cinta. Yang berbaki hanya setia.

-Che Thom-

Aku ingat lagi Thom, sewaktu aku di pantai untuk mencuci sampan, aku tergamam melihat engkau melintasi aku. Aku menyesal tak sudah masa tu! Ralat dan rugi sungguh aku rasakan sebab kau sudah ada depan mata, tapi aku pula berat mulut untuk menyapa. Ayat bukan main cantik aku dah karang dalam kepala. Tapi bila engkau depan mata, semuanya terbang ke laut! Aku anak laut, kau gadis darat, kita mencari titik untuk saling mesra dan mengerti.

Aku janji Thom, aku pulang. Aku janji aku balik semula ke Serkam. Aku tak ada harta di sini. Izinkan aku belayar keliling dunia, Aku buat semua ini untuk kau, Thom. Aku janji aku kirim berita untuk kau.

-Othman Alias -

Dua hati saling mencintai bertemu. Othman anak muda yang dewasa di laut. Menyimpul kasih dengan Che Thom, gadis yang sangat setia menumpah kasih hanya untuk Othman. Tuntutan hidup membuatkan mereka terpisah. Othman belayar keliling dunia, menjadi anak kapal sejati, hidup sentiasa diasak gelombang ganas. Namun hatinya tak sesekali melupakan Che Tom.

Cuma, hati yang ditinggalkan sentiasa merusuh. Penantian bagai tiada kesudahan. Sampai bila harus menunggu? Di mana surat dan khabar berita yang dijanji. Mengapa hanya poskad bisu tanpa cerita yang dikirim Othman?

Di mana engkau, Othman?
Lupakah engkau pada janji?
Aku akan menunggu engkau pulang biar berpuluh tahun lamanya!

Resensi saya:

Kisah percintaan zaman 40an, Thom dan Othman yang disajikan dengan penuh seni. Bagaimana Othman menyimpan rasa pada Thom pada mulanya, dan budi bahasa Othman yang sengaja melebihkan ikan setiap kali dibeli oleh Thom hanya kerana dia sukakan Thom tapi tidak mahu berterus terang. Kemudian dia sengaja mengambil hati nenek Thom yang sudah tua, dengan sengaja membelikan barangan keperluan dapur lalu dihantar terus ke rumah Che Puteh (nenek Thom).

Che Puteh faham lebih dari itu, makna pemberian Othman. lalu dia mengalu-alukan kehadiran Othman. Dalam pada Che Puteh yang kelihatan sihat kembali, mengemas dan membersihkan halaman rumah, bagaikan nak raya, Che Puteh pergi mengadap ilahi secara tiba-tiba dalam kain telekungnya selepas solat zohor, dan Thom tiada sesiapa lagi hendak mengadu, sudahlah rumah nya jauh nun di Temerloh, dan dia pula hanya ada emak saudara di sana, lalu dia datang ke Serkam itu hanya untuk menemani Che Puteh yang sudah uzur, pula tu, Che Puteh pergi mengadap ilahi meninggalkannya seorang diri.

Othman lalu mengusulkan dengan memberanikan diri untuk menyunting Thom. Mereka pun bernikah. Zaman 40an, Jepun menjajah Tanah Melayu dan pada suatu hari, Othman dipisahkan dari Thom setelah dipaksa oleh Jepun untuk mengikut mereka.

Kisah ini diceritakan oleh Thom yang sudah menjadi nenek, kepada Ahmad cucunya dari anak nya bersama Othman yang dikandungnya dan terpisah bertahun2. 


Post a Comment