Pencinta Novel

March 8, 2005

Badai di Hati - Fazie Hanna


Novel Badai Di Hati. Penulis Fazie Hanna


Sinopsis Badai Di Hati

Natilly... seindah nama yang bisa melenakan lelaki. Namun, perjalanan hidupnya tidak seindah yang diimpikan. Jiwanya teruji dengan pelbagai dugaan. Walau sakit, walau perit, namun hidup mesti diteruskan selagi belum tiba detik azali. Dia nekad, dia mesti bangun menongkah badai kehidupan. Dia tidak mahu menjadi insan lemah yang mudah menyerah kalah.

Nasrul, lelaki yang cukup segalanya. Pengasih dan penyayang. Tetapi lelaki itu karam dalam mengejar kemewahan. Walau tujuannya ingin membahagiakan Natilly, namun sayang... jalan yang dipilih tidak menghalalkan niat. Sebagai lelaki, dia terhebat. Tetapi sebagai insan, dia menjadi manusia sesat.

Dan kerana lelaki inilah, Natilly nekad. Tidak rela dia membiarkan dirinya diperkotak-katikkan lagi. Tidak tegar dia memaut hidup dengan hanya bergalangkan cinta dan kepercayaan. Dia pernah merana kerana itu. Dia pernah terseksa kerana itu. Tetapi tidak untuk kedua kali. Dia mesti menghapuskan setiap titis air mata duka yang selama ini melemaskan sisa-sisa semangatnya.

Sesungguhnya, segala kenangan pahit itu cukup menguji hatinya. Dia mesti mengubah paragdima hidup dengan berpaksikan pengalaman pahit semalam. Dan dia ingin membuktikan... selembut jiwa wanitanya juga mampu teguh kembali meskipun pernah derita dihempas gelombang dunia.


HARGA: RM17.00 HALAMAN: 436 PENULIS: Fazie Hanna

Komen dari bacaan saya:

Bab pertama dan kedua sangat terperinci membuatkan pembaca tertanya2 apakah isu yang akan diperkatakan dalam novel ini. Tetapi selepas membaca hingga ke tengah novel baru ceritanya menjadi rancak.

Kisah ini banyak mempamerkan hati seorang wanita yang cekal, walaubagaimanapun watak utama iaitu Natilly sekejap menjadi gila adalah seperti tidak kena dengan keadaan asalnya yang tenang semasa mengadap saat kematian ayahnya dan kemelut semasa menjaga adiknya Adli. Apabila Adli menjadi psikosis selepas disahkan oleh doktor, Natilly masih boleh menerima keadaan dan berfikir dengan waras.

Sebaliknya pula berlaku apabila Natilly ditimpa kesusahan bilamana suami yg tercinta dipenjarakan atas kesalahan berat (bapa ayam) dan dia dirogol pula oleh sepupunya sendiri Mukhriz. Natilly pula menjadi gila? Sedang kan sebelum ini dia seorang yang kuat pegangan agama... Seolah2 tidak kena dengan sifat yang digambarkan sebelum ini.

Rating: ***

No comments: