Pencinta Novel

April 22, 2009

Sri Diah - Kuala Lumpur Di Mana Suamiku

Tajuk : Kuala Lumpur Di Mana Suamiku
Pengarang : Sri Diah
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN : 983-124-109-6
Halaman : 544ms

Harga: RM19.90


Sinopsis belakang buku:
Sesekali bukan tidak terlintas di ruang fikiran, apakah perkahwinan ini satu percaturan? Natasya pernah bertanya pada diri sendiri tentang harga sebuah kasih sayang, sebuah kesetiaan seorang suami. Sudah puas dia menjadi isteri yang baik pada seorang suami yang bernama Nazril – lelaki yang berpura, lelaki yang tidak tahu menilai erti setia.
Perlukah diturut kata hati, mencurah rasa hati pada lelaki yang bukan suami? Menderhakakah dia, jika dalam kesepian, dia menyambut salam Baha yang baik dan penyayang? Dia sebenarnya penasaran, antara membuat pilihan, antara membuat keputusan. Lantas wanita yang bernama Natasya itu dalam dilema, diburu resah. Ada kesal, ada bimbang, ada kemarahan yang datang dan pergi. Dan hatinya sering bertanya sampai bila segalanya akan ada penyudah...
Ringkasan dari saya:

Novel ni rasanya dulu pernah baca, tapi tak dibuat resensinya. Kali ni novel ni ku pinjam di perpustakaan ofis, dan terperap dekat 3 minggu atas meja, sebelum diselak semula dan dibaca. Bila dah mula baca, tak boleh berhenti pula.

Kisah teladan dalam novel ini yang berkisar tentang gadis mualaf yang berkahwin dengan seorang 'bad temper' tetapi sudah pulih dari temper nya. Suaminya sebenarnya seorang duda yang dahulu pernah mendera serta menganiaya bekas isterinya.

Permulaan cerita berkisar tentang Natasya Abdullah yang baru bernikah dengan Nazril (cantik nama ni, macam tak sesuai dengan watak bad temper). Nazril seorang duda yang pernah mendera bekas isterinya. Keluarganya mengatakan Nazril terkena buatan orang kerana, sebelum berkahwin kali pertama, Nazril seorang yang penyayang, tetapi setelah ikatan pertunangan, dia berubah menjadi perengus dan watak membenci tunangnya. Tetapi perkahwinan tetap diteruskan bersama Laili, namun Laili didera sejak malam pertama, dan perkahwinan mereka cuma dapat bertahan beberapa bulan sahaja. Laili melarikan diri kembali ke rumah orang tuanya kerana tidak tertahan didera secara fizikal dan mental. Dia diceraikan.

Natasya pula berkenalan dengan Nazril setelah beberapa tahun Nazril menduda, dan tidak diceritakan dalam novel, bagaimana watak Nazril yang perengus tiba-tiba dengan jarak waktu berubah menjadi penyayang dan romantik. Natasya mengahwini Nazril tanpa mengetahui status Nazril yang duda, dan pernah mempunyai sejarah mendera isteri. Awal perkahwinan semuanya manis, tetapi Nazril mula berubah setelah terserempak dengan bekas isterinya Laili. Nazril mula gila talak. Laili pula lemah dan melayan Nazril.

Natasya diperkenalkan dengan Baharudin rakan baik Nazril, dan mereka kerap berjumpa. Nazril yang mengesyorkan supaya Baha menemani isterinya sementara dia menguruskan untuk berkahwin semula dengan Laili. (uish teruknya suami macam nih). Keakraban Baha - Natasya ditentang hebat oleh mama Baha, mamanya memang mahu Baha berkahwin dengan anak rakannya yang sesuai dengan taraf kehidupan mewah mereka. Namun mungkin mereka sudah ditakdirkan bersama, kedua mereka akrab kembali.

Natasya pula telah melahirkan anak perempuan yang comel, diberi nama Nurul Ain, dan lebih menyedihkan hati dan perasaannya, Ain meninggal ketika berusia seminggu. Sementara itu, Natasya telah ditinggalkan suami tanpa diketahui dimana suaminya berada. Akhirnya Natasya nekad mengadu ke pejabat syariah dan mendapat taklik. Sungguhpun begitu Nazril tetap tidak mahu menceraikannya. Setelah dibawa ke mahkamah, Nazril terpaksa melafazkan taklik tersebut setelah didapati semua bukti kukuh.

Bebaslah Natasya dari belenggu Nazril. (Tak sukanya bila Laili ni tak tetap pendirian, dah begitu terima balik Nazril - dan tak de pulak Nazril jadi perengus macam dulu - kesian Natasya).

Kemudian, mama Baha pula telah diserang stroke dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Baha akhirnya mengahwini Natasya.

Rating saya:
**** (4 bintang - best juga, tapi sangat kesian dengan watak Natasya ni, seorang isteri yang sabar dan tabah, diduga dengan pelbagai ujian).

1 comment:

Unknown said...

Salam..saya pun penah baca novel ni.sangat2 menyedihkan.smpai menangis sy baca.kesian dekat natasya kene tinggal sorng2 masa mengandung.suami plak kejar org lain