Pencinta Novel

February 16, 2009

R.Ismaz - Gamitan Nurani







Genre: Novel Remaja
Tajuk : Gamitan Nurani
Penulis: R.Ismaz
Publisher: Pekan Ilmu Publication Sdn Bhd
Harga: RM22.90
ISBN : 978 967 5106 13 2







Sinopsis belakang buku:


Sudah menjadi rutin harian bagi Bunyamin menjaja kuih di kawasan setinggan Bukit Jelatik, Kak Senyum menumpangkan kuih-kuihnya. Kak Janda muda itu pula menaruh hati padanya.



Menjelang SPM, Siti Nasrijah sering ikut menelaah pelajaran pelajaran bersamanya. Operator pengeluaran itu pun ada hati dengannya.



Namun begitu tanpa diduga Bunyamin terpikat dengan Kak Wanirah salah seorang pelanggan tetap kuih jajaannya. "Min sukakan Kak Wani, Min sayangkan Kak Wani, dan..."



Dalam usia yang terlalu muda, Bunyamin menghadapi dilema meneruskan pelajaran, memulakan peniagaan ataupun terus berkahwin?




Sinopsis dari saya:

Kisah cinta tiga arah Bunyamin yang diminati ramai gadis disekitar perkampungan Jelatik. Dia hanya seorang remaja yang sedang menghadapi SPM dan anak Mak Piah yang hanya berjualan kuih di situ.

Antara Kak Wanirah, Kak Senyum dan Siti Nasrijah. Yang paling diminati adalah Kak Wanirah, isteri kepada Abang Jumaat dan punyai anak perempuan Norzety yang masih bayi. Konflik dalam diri Bunyamin timbul bilamana gosip orang kampung terhadap dirinya yang diminati oleh Kak Senyum, malah dia pernah keluar dengan Kak Senyum, sebelum dia tahu yang kak Senyum memang menaruh hati padanya. Hinggakan Kak Senyum janda tanpa anak itu sanggup melakukan apa saja untuk Bunyamin. Mujur Bunyamin sempat sedar.

Sementara Siti Nasrijah pula operator pengeluaran yang mengambil SPM kali kedua cuba merapati diri dengan Bunyamin, dan belajar bersama untuk peperiksaan keduanya.

Komen saya:

Kisah remaja dan bagai membaca kisah hati Bunyamin dalam novel ini. Tetapi agak keterlaluan buat seorang remaja bila dialog kak Wani supaya Bunyamin menjadi suami kak Wani, sedangkan kak Wani adalah isteri Abang Jumaat, dan juga dalam gambaran permulaan personaliti Kak Wani adalah wanita yang lemah lembut dan penuh penghormatan. Tak mungkin wanita seperti itu sanggup mengeluarkan kata-kata begitu pada remaja seperti Bunyamin. (saya banyak beristighfar semasa membaca babak ini). Agak tidak realistik dan contoh yang tidak baik dalam kehidupan. Menemankan seorang wanita tanpa muhrim dalam rumahnya sendiri. Mungkin publisher patut bawa keluar babak ini.

Dalam novel ini juga banyak perkataan-perkataan yang pelik (atau saya yang jarang jumpa) contohnya menggelung, menggilas, merengoi macam bulu jagung, tiba-tiba melesang gadis itu, serta-merta dia bongkas, colak-caling, terkalang-kalang...

Secara keseluruhan novel ini mengisahkan remaja yang perlu berusaha bersungguh-sungguh demi SPM. Ketepikan kisah cinta, dan berusaha berjuang dalam pelajaran. Perkahwinan akan datang kemudian.

Banyak juga pengajaran yang boleh didapati dalam novel ini:
Contohnya:
1. Bersungguh-sungguh menghadapi pelajaran.
2. Bergossip tanpa apa-apa bukti merupakan perbuatan yang sia-sia.
3. Berikan pertolongan dalam apa jua keadaan.
4. Jangan berburuk sangka dengan orang lain.
5. Orang yang pemurah selalunya rezekinya bertambah-tambah.

Itu aje buat masa ni. Terimakasih pada Pekan Ilmu Publication Sdn Bhd kerana menaja buku ini untuk diresensi.

Rating saya:
*** (sesuai untuk remaja tingkatan).
Post a Comment