Pencinta Novel

October 31, 2008

Tentang... Dhiya - Syud

Add to cart
Penerbit : Jemari Seni
Pengarang : Syud
ISBN No: 978-967-5118-01-2
Harga: RM21.00



Dhiya Nurlisa dan Azril Mustaufi 'terpaksa' kenal waktu menyiapkan kerja kursus berkumpulan. Azril tak pernah faham kenapa Dhiya membencinya habis-habisan. Padahal alasannya sudah jelas, kan?

Lepas graduate, masing-masing bawa diri.

Namun takdir telah menemukan lagi mereka, kali ini dalam suasana yang tak sama. Seperti biasa, Azril masih lagi masalah kepada Dhiya. Lalu apa langkah seterusnya, Dhiya?


Ringkasan dari saya:

Kisah seorang gadis Dhiya yang berusaha menghadapi hidup yang penuh dengan kesedihan setelah kematian kedua ibu-bapa dalam kemalangan. Boleh dikatakan Dhiya Nurlisa mempunyai emosi yang kucar-kacir dan penuh dengan aura negatif, 'protective'. Takut dengan perasaan sendiri dan sentiasa merasakan dia boleh berdikari sedangkan hidup ini penuh warna warni dan perlu bertolak ansur.

Mula dari berkongsi kertas projek yang terpaksa dilakukan atas arahan Dr Noraini, dia akur dengan situasi yang menyebabkan dia harus berkongsi dengan seorang bernama Tau Fu Fa. Nama yang pelik dipanggil Tau Fu Fa kerana Azril Mustaufi bunyinya seperti Tau Fu Fa.... Bibit-bibit rasa sudah mula terjalin namun atas ke egoan dirinya menyebabkan semuanya
terlepas begitu sahaja. Kehadiran Faiz dan Azwan menyebabkan dia merasa tertekan.

Lelaki yang berada di hadapannya terlalu memaksa, Faiz baik Azwan punya perangai yang sama, walaupun mereka sentiasa menjadi pendengar yang setia, namun tiada 'chemistry' di situ.

Lalu, Dhiya Nurlisa membawa diri ke Swiss dan berkelana mengejar segulung Master selama 3 tahun. Akhirnya pulang jua ke tanah air, dengan segulung ijazah, dan dengan tidak disangka-sangka bibit-bibit dulunya mula berputik apabila adegan-adegan tidak sengaja yang ditakdirkan untuk bersama berulang-kali berlaku.

Apakah yang berlaku seterusnya? Baca dan ikuti kisah seorang Dhiya Nurlisa yang mulai keluar dari kepompong kesedihan dan adegan-adegan mencuit hati dicatatkan dengan penuh rasa oleh Syud. Sekalung Tahniah buat Syud! Walaupun penulis baru, namun nukilan anda menarik dan ada style tersendiri.

Rating saya:
***1/2 (boleh habis dalam masa 2 hari, setelah duduk di atas meja berbulan2 tak sempat nak buka).

October 28, 2008

Hijab Sang Pencinta - RAM


Harga : RM 19.90
Halaman :520
Sinopsis belakang buku :

RASA rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan.
Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana.
Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.
Namun, kejahatan yang senantiasa mengiringi setiap injak kakinya masih mengekori. Kali ini tebakan musuh durjana mengakibatkan sengketa yang tercetus di langit berlaku lagi.

HIJAB SANG PENCINTA - pelengkap trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sang Ratu ini sarat dengan konflik hingga ke akhir. Lagenda minda, Saifudin atau Laksamana Sunan ciptaan Ramlee Awang Murshid sekali lagi menggentar perasaan dan menggetar naluri anda yang menghayatinya. Ikutilah epik thriller ini...

Ringkasan dari saya:
Novel terakhir pelengkap pada triologi, sambungan kepada Bagaikan Puteri. Hampir serparuh buku berkisar tentang Saifuddin bertarung dengan musuh-musuhnya ketika dalam perjalanan menuju ke Tanah Melayu. Rindu pada keluarga menggamit jiwa Saifuddin, rupa-rupanya ibu Saifuddin pulang ke rahmatullah akibat sihir yang diguna-gunakan oleh Melor. Melor juga akhirnya tersihir dengan sihirnya sendiri menyebabkan dia tidak sedarkan diri, anaknya pula dilarikan oleh nenek pemberi sihir tersebut. Nenek berasal dari keturunan Majapahit yang ingin menuntut bela atas kematian Taming Sari menggunakan Melor untuk membunuh Sultan Melaka dan seluruh kesultanannya

Datuk Bendahara Melaka mengarahkan panglima Awang untuk mencari Laksamana Sunan di Acheh untuk mengubati Melor dan menyelamatkan kesultanan Melaka. Dia akhirnya bertemu dengan Laksamana Sunan di pelabuhan Lampung dan membawanya ke Tanah Melayu. Tiba di Tanah Melayu, Laksamana Sunan kembali ke kampung Punggor dan terlalu bersedih atas kematian ibunya. Walaupun begitu, dia kembali ke Melaka untuk bertemu dengan nenek tua dan melepaskan Melor dari cengkaman sihir serta melepaskan anak Melor dari hijab. Sudah tentu Laksamana Sunan berjaya dan dia kembali ke kampung Punggor. Namun begitu dia telah dikejar oleh panglima Awang atas titah Sultan Melaka. Panglima Awang amat berdukacita dengan arahan Sultan Melaka tersebut dan bermuslihat bagi melepaskan diri Laksamana Sunan.

Di sinilah Laksamana Sunan lari ke gua dan telah tertidur lalu menerobos ke zaman sekarang. Ketika ini Haryani diculik oleh orang suruhan Taghut bagi memuja jenglot Manggala. Agak kelakar juga bila membaca keadaan Saifuddin yang terpinga-pinga ketika tersedar dari tidur dan tiba-tiba melihat keadaan suasana yang berbeza dari sebelum dia tertidur. Pertemuan Haryani, Dani dan Saifuddin berlaku dalam 3/4 dari novel ini. Panjang lagi kalau nak cerita disini, bacalah sendiri dan alami emosi demi emosi cerita ini.

Rating Saya
**** (4 dari 5 bintang), baca terus menerus bila dah sampai ke separuh buku, nak tau ending dia.

October 24, 2008

Kembalikan Cintaku - Norhayati Berahim


ISBN: 9789834347383
Harga: RM24.00
Halaman: 741
Penerbit: NBKara Sdn Bhd


Sinopsis belakang buku:

Rasanya tidak pernah seorang pun manusia di dunia mememohon untuk merasa untuk sakit. Dicintai dan ditinggalkan pergi. Begitu juga Wardina. Dicintai juga tidak pernah dipinta apatah lagi ditinggalkan. Di saat bulan madu masih merah menyala, Zafrul suaminya pergi tanpa khabar berita. Wardina tertekan dan kadangkala rasa terhina. Pantasnya seorang lelaki berjanji, pantasnya mereka pergi. Namun sebagai manusia, Wardina harus akur takdir yang telah diaturkan untuknya…

Ringkasan cerita dari saya:

Semua berkisar tentang wanita yang bernama Wardina, sekali lagi kak Yati membentangkan kisah kemelut kehidupan seorang wanita yang tabah dengan dugaan, ditinggalkan dan bermadu.
Banyak sekali novel dari kak Yati yang positif tentang hidup bermadu. Wajar dibaca oleh wanita masakini dan sepatutnya boleh mengubah persepsi terhadap poligami.

Wardina, seorang student di Jerman, yang tinggal bersama kawan sekolej, tiba-tiba dipertemukan dengan Zafrul yang merupakan anak Tan Sri yang tidak tahu hal agama, langsung menyukai Wardina dan memikatnya. Bagai langit dengan bumi, Zafrul dan Wardina akhirnya berkahwin juga, dan bagusnya Zafrul mulai belajar hal agama dengan Wardina.

Ayah Zafrul, Tan Sri Jalal seorang yang tidak percaya agama, malah telah rosak akidah dengan tidak mempercayai kewujudan syurga dan neraka, dia angkuh, sombong dan ego. Bilamana mendengar Zafrul anak sulong nya bernikah, dia memanggil Zafrul pulang ke Malaysia.

Mulai dari Zafrul pulang, ayahnya menggula-gulakan Zafrul supaya meninggalkan Wardina dan berkahwin dgn wanita pilihan ayahnya. Tan Sri Jalal sering terlibat dengan maksiat, akhirnya dia kecundang dengan maksiatnya sendiri. Dia jatuh sakit dan terlantar di hospital dengan penyakit kronik akibat alkohol.

Wardina pula setelah menunggu suaminya yang tidak pulang, dia pasrah dan meneruskan kehidupannya sendirian di Jerman selama dua tahun, dan akhirnya ke China membuat perniagaan logisitik di sana. Selama itu lah dia tidak berkahwin lain dan tidak membuka pintu hatinya untuk sesiapa. Dan juga dia tidak lagi punya perasaan terhadap Zafrul lagi. Sedangkan ketika ini Zafrul menderita jiwa dan raga, setelah perkahwinan demi perkahwinan yang tidak sempurna. Isteri yang dipilih Tan Sri tidak sesuai dengan jiwanya, kesemua mereka (ada dua isteri - Danielle dan Onah) derhaka pada suami, sering membentak-bentak dan menengking Zafrul.

Titik pertemuan klimaks berlaku bilamana, kawan serumah Wardina di Jerman dulu, (Nisak) terserempak dengan Zafrul dalam tren dari KLIA ke KL Sentral (setelah 8 tahun berlalu). Zafrul merayu2 Nisak untuk mendapatkan alamat Wardina. Nisak walaubagaimanapun tidak mahu Wardina terganggu lagi, dia enggan memberikan apa-apa pada Zafrul, ini menambah lagi kekecewaan Zafrul.

Dalam pada itu, syarikat Tan Sri Jalal, terpaksa dikendalikan oleh isteri pertamanya Puan Sri Fauziah. Puan Sri punya satu projek halal hub yang ditunda oleh Tan Sri, sebab Tan Sri tak menyukai halal. Puan Sri bergandingan dengan anak keduanya Zafran menyiapkan projek dan survey ke China. Di sini lah klimaks kedua berlaku di mana Nisak dan Wardina berjumpa Puan Sri dan Zafran tanpa mengetahui hubungan masing2, perjumpaan akibat Wardina yang terlalu bersifat menolong, dilihat puan sri tersebut terkial-kial di airport GuangZhao. Dari situ hubungan sebagai rakan senegara terjalin, tanpa mengetahui hubungan sebenar.

Bagaimanakah akhirnya? Zafrul atau Zafran? Adakah hubungan akan terbongkar? dan bagaimana penerimaan Wardina?

Baca lah sendiri, memang best!.

Rating saya:
****1/2 (dari lima bintang)

October 17, 2008

Selagi Ada dia-aisya sofea


Harga : RM 19.90
Halaman :512
ISBN : 978-983-124-365-7
Terbitan: Alaf21 Sdn Bhd


“Aku sering membina angan. Membina istana indah. Dia sebagai raja dan aku sebagai ratu. Biarpun istana kami hanya sekadar pondok kecil, namun aku tahu… dia akan sentiasa di sisi dan mencintaiku selamanya.” Pertemuan tanpa dirancang telah membuka pintu hati Arianni untuk mengenal erti cinta. Apatah lagi, lelaki itu berjanji menjadikan dia sebahagian hidupnya, berjanji bahawa segalanya mampu ditangani dan berjanji akan mempertahankan cinta mereka.`Namun, kasih yang disulam, janji yang dimaterai terlerai akhirnya bila terbongkar satu rahsia yang tidak terduga. Sebagai wanita bermaruah, Arianni nekad menoktahkan segala impian. Cinta pertamanya harus dibuang jauh daripada kotak ingatan. Lelaki itu bukan untuknya. Tahun berlalu… hadirlah lelaki baru dalam hidupnya. Sayangnya, pintu hati dia masih tertutup rapat. Rasa terluka itu masih ada. Baginya, cinta kedua tidak membawa sebarang makna; tiada keikhlasan, tiada kejujuran. Lalu bagaimana? Selama manakah lagi harus dia tunggu untuk mengecap nikmat kebahagian? Terlalu memilihkah dia?


Ringkasan Cerita:

Arini yang sentiasa dilanda derita cinta, cinta pertama yang bercabang tiga dan dia lari dari menjadi orang ketiga yang merampas kasih dari kakaknya sendiri. Setelah tiga tahun berlalu, sungguhpun dia sudah melupakan kisah silam, tapi masih lagi Haris menuntut cintanya. Arini
resah gelisah dan dengan kehadiran cinta baru dihatinya dengan lelaki yang lebih matang menyebabkan dia rasa tertekan. Ayah Arini yang sakit sejak Arini meninggalkannya 3 tahun yang lalu semakin teruk, seringkali dia menumpahkan airmata bila melihat keadaan ayah dan ibunya. Ibunya yang sentiasa tabah dan sabar menangani kerenah cerewet ayah yang sering menengking dan mengherdik ibu....

Komen saya:
Best!, dah lama tak baca novel yang seronok macam ni, cumanya adegan Arini dan Idris terlalu sedikit, hanya di Korea yang menyebabkan pembaca hanyut dalam percintaan mereka berdua. Banyak berkisar dengan keluarga Arini, keadaan kakak yang sombong dan bongkak dan sentiasa mahukan lebih dari adiknya. Arini yang tabah dan cengeng, asyik sahaja menangis. Idris cuma di tonjolkan sedikit sahaja, bagaimana keadaan rumah Idris, kehidupan Idris tidak dapat digambarkan oleh pembaca seperti saya. Cuma berat pada keadaan keluarga dan rumah Arini, sikap ayah Arini dan ibunya. Klimaks terlalu panjang, saya sempat berhenti seketika, dan boleh mengagak siapa gerangan bakal pengantin lelaki. Hint dia Kak Lin, kerana Kak Lin pro Arini, mana mungkin dibiarkan Arini berkahwin dengan lelaki yang Arini tidak suka, sedangkan calon yang terbaik ada didepan mata...

Rating saya:
**** (4 dari 5 bintang)